KLANG - Seorang lelaki yang hilang selepas bot dinaiki dipercayai kehabisan minyak ditemukan selamat di Perairan Batu Laut di sini pada Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mangsa, Md Shamsuddin Mohamed Shari, 46, ditemukan selamat oleh nelayan tempatan.
"Mangsa dan bot ditemui pada jarak lapan batu nautika dari Jeti Sungai Mersuk, Batu Laut Selangor.
"Bot mangsa ditunda masuk ke Jeti Sungai Mersuk oleh nelayan tempatan, Maritim Selangor telah menugaskan bot Penggalang 10 ke lokasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, berikutan penemuan itu, operasi mencari menyelamat telah ditamatkan dan Pos Hadapan Mencari dan Menyelamat di Jeti Polis Marin juga telah dibubarkan.
"Operasi mencari dan menyelamat yang diselaras pada hari kedua meliputi keluasan pencarian 85 batu nautika persegi dari Pulau Ketam sehingga ke kawasan Pulau Carey.
"Operasi ini menggunakan sebuah pesawat, sebuah kapal dan dua buah bot dari Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin serta turut dibantu oleh komuniti nelayan," katanya.
Pada Jumaat, seorang lelaki dipercayai hilang di perairan Pintu Gedung di sini selepas bot yang dinaiki dipercayai kehabisan minyak.
Mangsa dipercayai hanyut bersama bot fiber yang dinaiki dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke kapal dagang Lila Bhavnagar bagi menghantar dokumen serta pasport kru kapal dagang berkenaan.