IPOH - Kerajaan Perak menafikan dakwaan kematian kira-kira 20 ekor anjing liar dipercayai diracun di kawasan Tasik Cermin, di sini dilakukan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kematian anjing liar itu difahamkan dilakukan oleh individu lain.
Menurutnya, pekerja MBI yang datang ke lokasi kejadian hanya membantu mengalihkan bangkai haiwan berkenaan.
"Kita akan buat semakan dan siasat mengenai kejadian ini. Kita difahamkan ada orang lain yang melakukan perbuatan tersebut.
"Pekerja yang datang ke situ untuk mengalihkan bangkai anjing tersebut.
Kita tidak akan bertoleransi jika perbuatan itu dilakukan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar tular di media sosial beberapa ekor anjing mati berhampiran Tasik Cermin yang dipercayai diracun.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (ISPCA) Ipoh, Ricky Soong dalam kenyataan kepada akhbar The Star memaklumkan kejadian tersebut disedari sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada jam 7.30 pagi Sabtu.
Beliau kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab terhadap haiwan liar dengan membunuhnya secara kejam.
Katanya, individu yang terlibat melakukan perkara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.