SHAH ALAM – Golongan belia harus diberi pendedahan mengenai ilmu pengurusan wang kerana ia melibatkan masa depan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, ilmu pengurusan kewangan penting kerana ia membantu dalam membuat perancangan terutama berhadapan dengan situasi mencabar dan keadaan tidak dijangka.
"Ramai rakyat Malaysia bergelut untuk menguruskan wang mereka ini termasuk risiko diberhentikan kerja, menghidapi penyakit secara tiba-tiba dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam telesidang khas majlis penutup dan penyampaian hadiah Kembara Bijak Wang (KBW3.0) 2021 anjuran Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama Bank HSBC dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.
Telesidang khas itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne.
Menurut beliau, KBW3.0 dilihat berjaya mengumpulkan pelajar universiti tempatan untuk bertanding dalam aktiviti berunsurkan pengurusan kewangan.
"KBW berpotensi membantu generasi muda negara memperoleh kemahiran mereka perlukan untuk terus berkembang maju dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif,” katanya.
Mengulas lanjut Azaddin berkata, KBW3.0 menerima penyertaan daripada 6,334 penuntut dari 58 institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
"Penyertaan kali ini amat memberangsangkan. Semasa dilancarkan pada tahun 2019, 4,000 mahasiswa menyertainya dan jumlahnya meningkat kepada 5,634 pelajar dari 42 IPT merangkumi 22 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara pada tahun 2020," katanya.
Menurutnya lagi, 500 penuntut layak menyertai cabaran terakhir iaitu pencarian harta karun maya yang menyaksikan Pasukan WeWantToBeBillionaire dari Universiti Malaya diumum merangkul hadiah utama program Kembara Bijak Wang (KBW3.0) 2021 sekaligus membawa pulang RM5,000.
"Naib juara dirangkul Putra Warriors dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membawa pulang RM3,000 diikuti pemenang tempat ketiga, Mailo dari Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.
Sementara itu Stuart Milne berkata, HSBC menyokong program berkenaan kerana penyertaan dalam kalangan penuntut IPT amat baik.
"Ini membuktikan peranan institusi seperti AKPK dan UMT dalam melahirkan membangunkan golongan muda celik kewangan berjaya,” katanya.