MSC, MBR sepakat majukan sepak takraw akar umbi

Iklan
Khairudin

ENTITI baharu sepak takraw tanah air, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) komited dalam memajukan sukan sepak takraw negara menerusi kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Masyarakat Bola Rotan (MBR).

Timbalan Presiden I MSC, Datuk Seri Khairudin Abd Samad berkata, pihaknya yakin dengan kerjasama itu dapat merealisasikan wawasan MSC untuk melihat sukan ini kembali mempunyai kesinambungan dan dibanjiri dengan bakat- bakat baharu daripada peringkat akar umbi.

Iklan
Iklan

"MSC dan MBR selaku ahli bersekutunya pada mesyuarat agung pertama pembentukan Jawatankuasa Tertinggi 19 Februari lalu, melihat potensi ini dapat dibangunkan di kampung-kampung, taman-taman perumahan, sekolah-sekolah, pekan-pekan, bandar-bandar dan daerah-daerah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, pihaknya lebih yakin selepas melihat rekod cemerlang MBR yang mahir dan berpengalaman luas dalam melaksanakan program pembangunan sukan serta melahirkan bakat-bakat baharu sukan itu.

Iklan

"Selain mempunyai puluhan ribu pengikut media sosialnya, MBR juga kerap turun padang dengan khidmat bekas-bekas pemain kebangsaan dan negeri untuk melahirkan lebih ramai pemain seperti Adnan Saidin, Nordin Sabarudin, Rehan Mat Din dan Malik Samsudin dalam era baharu ini.

"Telah banyak kejohanan dan program pembangunan seperti klinik sepak takraw yang MBR jalankan dan mendapat sambutan menggalakkan walaupun mereka hanya bergerak bersendirian dan hanya berbekalkan sumber dan sokongan yang begitu terhad,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Presiden MSC Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pihaknya bersedia membuka pintu kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam pembangunan sukan sepak takraw negara.

"Inilah permata-permata baharu dan pewaris sukan tradisi kita yang bakal menggalas cabaran Jalur Gemilang dalam Sukan Asia Tenggara (SEA), Sukan Asia dan Kejohanan Dunia pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program realiti TV di seluruh Malaysia dengan kerjasama stesen TV terkemuka yang bakal dikenal pasti agar sejajar dengan peredaran masa, minat dan tarikan komersial.