Nur Syafiqah raih emas sulung negara

Iklan
Nur Syafiqah

PESILAT wanita negara, Nur Syafiqah Hamzah berjaya mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul atlet pertama negara menyumbang emas pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 edisi kelapan di Singapura pada Sabtu.

Kejohanan yang berlangsung di Arena OCBC, Singapura itu menyaksikan Nur Syafiqah yang mempamerkan persembahan mengagumkan mengutip 9.985 mata sekali gus mengecewakan wakil tuan rumah Siti Nazurah Md Yusoff yang mengumpul 9.930 mata dalam acara Jurus Tunggal Puteri.

Iklan
Iklan

Nur Syafiqah berkata, pencapaian dilakarnya tersebut adalah permulaan yang terbaik buatnya dan berjanji akan membawa pulang pingat menjelang Sukan SEA dari 12 hingga 23 Mei di Hanoi,Vietnam.

"Ini satu permulaan bagi saya. Menang kalah itu belakang kira tetapi saya hanya fikir untuk puaskan hati saya dan jurulatih memandangkan sudah lama tidak keluar bertanding.

Iklan

Saya hanya fikirkan untuk melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah berhasil. Sasaran saya untuk Sukan SEA nanti, saya mahu berikan pingat." katanya dalam satu klip video di laman Facebook rasmi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, trio regu puteri diwakili oleh Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Nur Khairunnisa Hail gagal meneruskan rentak kecemerlangan Nur Syafiqah apabila sekadar merangkul pingat perak dengan 9.895 mata.

Iklan

Trio tuan rumah diwakili Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli membawa pulang emas dengan 9.945 mata.

Dalam pada itu itu, Juara Dunia 2016 Mohd Al Jufferi Jamari berpeluang untuk menambah koleksi pingat emas negara selepas lawannya Tito Hendra Septa Kurnia Wijaya dari Indonesia disingkirkan daripada perlawanan peringkat separuh akhir itu susulan kekasaran terhadap Mohd Al Jufferi di dalam kategori Senior Putera F.

Jaguh pencak silat negara itu bakal bertemu pesilat Vietnam, Vu Duc Hung selepas menewaskan pesilat dari Singapura Abdul Raazaq Abdul Rashid 31-23 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

Mohd Fauzi Khalid turut berjaya melangkah ke pentas final selepas menewaskan pesilat Thailand Suthat Bunchit 41-29 dalam acara aksi perlawanan Senior Putera G dan akan bertemu wakil dari Vietnam, Nguyen Tan Sang di final esok.

Tan Sang mara ke peringkat akhir selepas menewaskan pesilat Singapura Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin 15-6. - Bernama