Piala Sumbangsih: JDT mudah atasi KL City FC 3-0

Iklan
Pemain JDT Muhammad Nazmi Faiz Mansor meraikan jaringan bersama Arif Aiman Mohd Hanapi dan Forestieri Fernando Martin (kiri) ketika menentang KL City FC pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto Bernama

JUARA Liga Super lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran awal bahawa Harimau Selatan itu sudah bersedia mencabar kejuaraan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Anak buah Benjamin Mora yang tampil dengan status menjuarai perlawanan Sumbangsih empat musim berturut-turut sejak 2018 ternyata garang apabila menguasai permainan di sepanjang 30 minit babak pertama.

Iklan
Iklan

Faktor beraksi sebagai tuan rumah ternyata memberi kelebihan besar kepada skuad Mora apabila Harimau Selatan hanya tewas sekali dalam tujuh penampilan terakhir di pentas perlawanan Sumbangsih di laman sendiri sejak 2015.

Harimau Selatan memulakan kempen gol saingan Liga-M 2022 apabila Muhamad Nazmi Faiz Mansor muncul pencetak jaringan pertama musim ini selepas menanduk masuk hantaran Arif Aiman pada minit ke-26.

Iklan

Tersentak dengan jaringan itu anak buah Bojan Hodak kembali memperkemaskan permainan, namun belum sempat juara Piala Malaysia tersebut mengatur serangan giliran Fernando Forestieri melebarkan jaringan gol untuk Harimau Selatan pada minit ke-31.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling menggandakan asakan, namun beberapa peluang gagal dimanfaatkan bahagian depan Harimau Selatan dan The City Boys sehinggalah Afiq Fazail memanfaatkan kecuaian Kamal Azizi Zabri pada minit ke-84 untuk kemenangan mutlak 3-0 tuan rumah.

Iklan

Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh dalam tempoh lapan musim sejak mula mendominasi saingan itu pada 2018.