SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kiev selamat tiba di Korczowa-Krakovets yang merupakan sempadan Ukraine dengan Poland.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, konvoi tersebut diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud.
"Alhamdulillah, konvoi memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kiev diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Ahad.
Saifuddin berkata, konvoi tersebut disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland.
"Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Kedutaan Malaysia di Kiev sedang melaksanakan pemindahan baki lapan warganegara Malaysia dan dua daripada mereka tanggungan asing dari Kiev.
Namun demikian, Portal South China Morning Post mendakwa, Diplomat Malaysia yang terkandas itu dalam perjalanan ke negara jiran Poland melalui jalan darat, selepas tidak berjaya menyelamatkan diri apabila tentera Rusia menghampiri ibu negara Ukraine.
Menurut portal tersebut, mereka yang melarikan diri itu terdiri daripada lapan rakyat Malaysia dan dua warga asing dengan menggunakan empat buah kereta.
Sementara itu, Wisma Putra dalam Facebooknya berkata, kesemua mereka selamat tiba pada 5.45 pagi waktu Malaysia, 27 Februari 2022 bersamaan waktu tempatan 10.45 malam, 26 Februari 2022.
Menurutnya, kesemua mereka yang dievakuasi termasuk pegawai-pegawai pengiring akan meneruskan perjalanan ke Warsaw, Poland.
"Wisma Putra sentiasa berhubung rapat dengan pegawai-pegawai Kedutaan bagi memastikan keselamatan serta keberadaan kesemua rakyat Malaysia yang dievakuasi dan juga konvoi yang turut serta,” ujarnya.