HULU TERENGGANU - Mangsa banjir yang terjejas di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh, di sini cemas apabila dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di situ dinaiki air awal pagi Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk, Abdul Rasek Ali berkata, PPS itu pada mulanya ditutup jam 1 tengah hari Sabtu kerana air di kediaman penduduk mula surut.
Bagaimanapun, menurut beliau, penduduk terpaksa berpindah semula kerana kediaman mereka kembali dinaiki air.
Menurutnya, PPS berkenaan sebelum ini menempatkan seramai 315 mangsa.
"Air naik pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk membabitkan empat keluarga berpindah di PPS itu tetapi malangnya turut dinaiki air pada jam 6.30 pagi Ahad.
"Jumlah mangsa yang terlibat belum dapat dipastikan kerana kami masih membantu pasukan penyelamat memindahkan penduduk ke kawasan lebih tinggi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, penduduk Kampung Peneh, Rosliza Abdul Ghani, 41, berkata, air naik terlalu cepat berikutan hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu.
Tambahnya, arus banjir yang terlalu deras menyebabkan penduduk kelam-kabut menyelamatkan harta benda dan keluarga ke rumah jiran di kawasan lebih tinggi di dua kampung tersebut.
"Kami panik sebab pada awalnya air sudah surut. Penduduk kini kampung saling membantu mereka yang terperangkap di rumah terutama warga emas dan kanak-kanak untuk berlindung di Masjid Kampung Peneh.
"Walaupun pekarangan masjid dinaiki air tetapi ruang dalamnya masih selamat untuk berlindung. Buat masa ini hampir semua rumah di Kampung Peneh dinaiki air," katanya.