Cara baharu perlu dicari untuk perkukuh industri penerbangan

Iklan
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad ketika sesi soal jawab pada majlis 'Invest Malaysia 2019' hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Cara baharu perlu dicari untuk memperkukuhkan industri penerbangan bagi mencapai satu tahap yang efisen untuk meraih keuntungan, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Industri itu menyediakan manfaat ekonomi sebenar yang amat besar, menjana pendapatan limpahan kepada pelbagai sektor ekonomi Malaysia seperti pelancongan, katanya.

Iklan
Iklan

"Jika anda lihat dalam seluruh rantaian bekalan, banyak industri lain yang membuat keuntungan, Kita hanya perlu mencari cara baharu, pada asasnya, agar syarikat penerbangan itu sendiri mencapai tahap yang lebih efisien dan mungkin memerlukan kita melihat semula kepada industri, berkemungkinan menyusun semula industri itu sendiri.

"Saya rasa (penyusunan semula) boleh difikirkan jika dilihat kepada industri di mana permintaan tidak berkembang sepantas pertumbuhan kapasiti,” katanya pada sesi panel bertajuk"New Mandates, New Opportunities” pada Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Iklan

Ahli panel lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Shahril Ridza berkata industri penerbangan di Malaysia mempunyai penawaran kapasiti yang besar berbanding jumlah penumpang sebenar.

Iklan

"Itulah sebabnya mengapa kita perlu menimbang syarikat penerbangan tempatan beroperasi di luar Malaysia. Saya tidak rasa pada 2018, sesiapa sahaja (dalam industri penerbangan) meraih keuntungan. Ia adalah industri yang aneh di mana pada dasarnya setiap orang memerlukan wang -- lapangan terbang, penyedia perkhidmatan, dan penyenggaraan, pembaikan dan operasi -- selain syarikat penerbangan itu sendiri,” katanya.

Mengenai Malaysia Airlines Bhd, Shahril Ridza berkata terdapat penawaran nilai yang amat besar yang boleh dibawakan oleh syarikat penerbangan nasional itu kepada negara dan ekonomi walaupun prestasi turun naiknya.

Keupayaan Malaysia Airlines untuk meneruskan operasinya mencetuskan persoalan baru-baru ini selepas kerugiannya menyebabkan kehilangan rosot nilai yang besar bagi pemegang saham tunggalnya Khazanah, yang menyebabkan dana nasional itu mencatatkan kerugian sebelum cukai tahun lepas -- yang pertama sejak 2005.

Khazanah menjadikan Malaysia Airlines sebagai syarikat persendirian pada 2014 dan menyuntik RM6 bilion ke dalam perniagaannya untuk menjadikan ia menguntungkan.

Apabila ditanya pemberita selepas sesi tersebut sama ada RM6 bilion itu telah digunakan sepenuhnya, Shahril Ridza berkata pelaburan tersebut masih belum digunakan sepenuhnya.

"Masih ada (dana) yang akan disuntik tahun ini dan kemudiannya," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang menilai pelbagai pilihan bagi syarikat penerbangan itu termasuk menutupnya, menjual aset atau membiayai semula hutangnya dan satu keputusan akan dibuat tidak lama lagi. -Bernama