SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan banjir teruk di Kelantan dan Terengganu bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri.
"Saya menerima laporan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terutamanya di Hulu Terengganu ditimpa musibah banjir yang teruk.
"Ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Pada Sabtu, keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga turut mengingatkan orang ramai supaya peka dengan perkembangan terkini paras air sungai khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pada masa sama, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, bencana banjir yang melanda negeri di Pantai Timur ketika ini disebabkan luruan monsun atau luruan udara sejuk serta adanya sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berpesan kepada mangsa banjir agar dapat mengikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri serta keluarga.
"Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” ujarnya.