Comwel sambut baik pertambahan calon wanita bertanding PRN Johor

Iklan
Zuraida

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) menyambut baik pertambahan seramai 37 calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Presiden dan Pengasas Comwel, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang baik berbanding 28 orang calon wanita yang bertanding pada pilihan raya negeri lalu.

Iklan
Iklan

"Walaupun jumlah calon wanita hanyalah 15.5 peratus daripada calon yang bertanding, saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada mereka untuk menang di kawasan yang ditandingi.

"Ternyatalah apabila seorang wakil rakyat adalah wanita, dia pasti akan membawa isu berkenaan wanita dan keluarga untuk dibincang semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung juga untuk penggubalan polisi berkaitan.

Iklan

"Untuk mencapai 30 peratus wanita dalam DUN, sekurang-kurangnya 17 orang wanita perlu menang di kawasan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana mencalonkan jumlah wanita yang tertinggi dalam kalangan parti bertanding, iaitu seramai 14 orang.

Iklan

Jelasnya, bagi parti tidak mempunyai begitu ramai calon wanita, beliau berharap pimpinan parti berkenaan akan terus berusaha untuk membangunkan pemimpin wanita mereka.

"Bagi pihak Comwel, saya juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada semua calon wanita ini dan berharap mereka akan membawa perubahan positif kepada rakyat sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat nanti,” ujar beliau.