KUALA TERENGGANU - Banjir melanda dengan limpahan air sungai yang berlaku secara mendadak menyebabkan 10 jalan di lima daerah di negeri ini ditutup kepada semua kenderaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam kenyataan pada Ahad berkata, laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan di Hulu Terengganu melibatkan Jalan Simpang Gaung ke Sungai Tong (dinaiki air 1.2 meter) dan Jalan Bukit Diman-Tersat dekat Kampung Pengkalan Ajal (2m).
Iklan
Iklan
Selain itu, kenyataan itu menjelaskan antara jalan ditutup di Kemaman ialah Jalan Pelantoh (dinaiki air sehingga 0.6 meter), Jalan Air Putih di Kampung Seberang Tayor (0.3m) dan Loji Air Sungai Pinang (0.76m).
Di Besut pula Jalan Jertih-Keruak di Besut ditutup kerana dinaiki air sedalam satu meter manakala di Setiu laluan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong dekat Kampung Seri Kenangan (1.5m), Jalan Kampung Bukit-Alur Lik (2m) dan Jalan Permaisuri-Kampung Hulu Seladang (0.75m).
Di Dungun pula Jalan Tepus-Kuala Jengai ( Kampung Rantau Panjang) ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam 0.8m.
Katanya, pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh JKR.
"Beberapa laluan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan. Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak mengambil risiko melalui jalan yang ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.