PASIR MAS - Hujan lebat yang luar biasa serta limpahan air Sungai Golok menyebabkan kesemua kawasan di Rantau Panjang dinaiki air.
Peningkatan paras air secara mendadak juga mengakibatkan ramai penduduk terkandas dalam banjir terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga uzur serta tua menghadapi kesukaran untuk berpindah.
Mohd Faizah Zawawi, 31, dari Wakaf Bharu, Tumpat sanggup meredah banjir sedalam 0.8 meter untuk pulang ke rumah neneknya di Kampung Gual Tok Deh namun gagal kerana arus deras.
"Saya cuba pulang ke kampung melihat keadaan nenek yang tinggal seorang diri tetapi gagal kerana air terlalu dalam," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Mohd Faizah terpaksa berpatah balik kerana keadaan cuaca semakin buruk.
Sementara itu, penduduk perumahan Taman Mesa Nurhaya Jaafar, 48, mengakui beberapa kali menghubungi anggota keselamatan untuk meminta bantuan awal kerana suaminya ada penyakit jantung manakala anak lelaki pula mengalami asma.
"Ini merupakan kali pertama kawasan perumahan ini dinaiki air setinggi 0.3 meter.
"Sebab itulah kami ingin berpindah awal. Alhamdulillah jam 2.45 petang tadi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas datang menyelamatkan kami," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, APM akan membawa mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran sementara menunggu air surut.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Rantau Panjang mendapati kesemua kawasan sudah dinaiki air ekoran limpahan air Sungai Golok.
Ramai penduduk mengeluh dan gusar apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air di luar jangkaan.
Situasi itu menyebabkan anggota keselamatan tidak menang tangan bergegas membantu namun mereka dilihat sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik untuk menyelamat mangsa banjir.