ALOR SETAR - Rakyat Kedah diminta mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan asas dan pemeriksaan kesihatan mental yang akan diadakan secara percuma.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Wellness on Wheel (WOW) dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah akan menjelajah ke beberapa lokasi di daerah untuk memberikan khidmat dan nasihat kepada rakyat agar mementingkan tahap kesihatan.
Menurutnya, pemeriksaan kesihatan mental mungkin agak baharu kalangan masyarakat namun kebelakangan ini banyak kes berkaitan dilaporkan berlaku di seluruh negara.
"Kadang-kadang kita berdepan tekanan terutama dalam fasa pandemik dan kehidupan, tubuh sahaja nampak sihat tetap mental ‘tercedera’.
"Di seluruh negara ada kes dilaporkan, saya fikir JKN Kedah pastinya rumuskan ada keperluan untuk masyarakat lakukan pemeriksaan kesihatan mental,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama penjawat awam negeri Kedah dan pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi berkata, JKN Kedah akan mencadangkan langkah-langkah rawatan untuk kekal sihat sama ada aspek jasmani mahupun rohani.
"Kebelakangan ini, banyak sangat kes pesakit mental, termasuk kes seperti bunuh ahli keluarga dan macam-macam kes kita dengar, saya rasa benda-benda seperti itu lah yang menjurus kepada kesihatan mental.
"Bukan itu saja, Kedah antara negeri tertinggi pengidap kencing manis, saya harap rakyat ambil peluang ini untuk periksa tahap kesihatan sama ada fizikal atau mental,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi mengumumkan hari Jumaat sebagai hari kebersihan negeri Kedah.
"Inisiatif ini untuk galakkan pembudayaan amalan membersih rumah sendiri pada setiap Jumaat. Tujuannya untuk basmi tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes dan lain-lain serangga perosak bagi mengurangkan penyakit berkaitan persekitaran tidak bersih,” katanya.
Menurutnya, ia selari dengan matlamat ANMS untuk membudayakan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran bagi seluruh rakyat dalam menyokong kesejahteraan kesihatan.
"ANMS ini dilancarkan secara maya oleh Perdana Menteri pada 11 November 2021. Ia membabitkan semua agensi kerajaan, swasta, NGO serta komuniti untuk bergerak seiring sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda ini.
"Ia dilaksanakan untuk 10 tahun bermula 2021 hingga 2030, melibatkan promosi pembudayaan hidup sihat, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran,” ujarnya lagi.