Banjir: ATM mula operasi di Kelantan, Terengganu

Iklan
Hishammuddin

SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan anggota dan asetnya bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Iklan
Iklan

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkongsi perkara itu di Facebook pada Ahad memaklumkan, anggota dan aset terutama daripada Briged Kelapan Infantri Malaysia mula diatur gerak melalui Operasi Murni (Ops Murni).

"ATM memberi perhatian penuh terhadap situasi banjir di beberapa kawasan terutama di Kelantan dan Terengganu ketika ini.

Iklan

"Pasukan 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) kini telah diatur gerak ke Rantau Panjang, Pasukan 16 RAMD ke Hulu Terengganu, manakala Pasukan 5 Rejimen Artileri Diraja (RAD) ke Besut.

"Insya-ALLAH, ATM akan lakukan apa jua yang terdaya bagi membantu mangsa banjir di sana. Jaga diri dan keselamatan semua,” katanya.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 12 daerah di Terengganu dan Kelantan kini terjejas akibat banjir dengan 6,327 orang ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 9 malam Sabtu.

Di Terengganu, lapan daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Setiu.

Tiga daerah mula dilanda banjir sejak lewat petang Sabtu iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 3,334 individu daripada 931 keluarga ditempatkan di 71 PPS di seluruh Terengganu, dengan daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk tertinggi terjejas akibat banjir.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 9 malam ini apabila seramai 2,993 orang daripada 881 keluarga berbanding 2,186 orang daripada 622 keluarga, petang Sabtu.