Malaysia masih tunggu keputusan kuota haji

Iklan
Kos haji dijangka turut meningkat tahun ini berikutan peningkatan sebanyak 15 peratus cukai tambah nilai (VAT) yang dikenakan Arab Saudi, (Gambar kecil) Ahmad Marzuk

TAWAU - Malaysia masih menunggu keputusan akhir daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehingga kini kerajaan belum menerima jumlah kuota yang diperuntukkan Arab Saudi, iaitu kebiasaannya Malaysia dibenarkan menghantar seramai kira-kira 32,000 jemaah.

Iklan
Iklan

"Sekiranya sudah ada angka yang tepat, kita akan mula menyaring para jemaah yang layak untuk pergi mengerjakan haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini pada Ahad.

Selain itu, katanya, berikutan peningkatan sebanyak 15 peratus cukai tambah nilai (VAT) yang dikenakan Arab Saudi, kos haji dijangka turut meningkat tahun ini.

Iklan

"Begitu juga dengan kos hotel di Arab Saudi mungkin akan meningkat disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengurangkan jumlah jemaah dalam satu bilik, sekiranya ada peningkatan kos haji pada tahun ini, kerajaan (akan) pastikan ia tidak akan membebankan para jemaah yang layak.

"Kerajaan mungkin akan melaksanakan subsidi secara bersasar kepada jemaah haji supaya mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu belum menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang dilarang masuk ke masjid, Ahmad Marzuk berkata, ia adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.

"Walaupun ia tidak diwajibkan tetapi saya sangat galakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak sebagai pelindung tambahan,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan kepada 76 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Titingan pada tahun lalu.

Sumbangan berupa bakul makanan itu disumbangkan oleh YaPEIM bernilai RM28,000 serta Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (RM12,400). - Bernama