PDRM kerah anggota, aset bantu mangsa banjir di pantai timur

Iklan
Penduduk setempat meredah banjir di laluan utama Kampung Bukit Kecik, Bendang Nyior untuk ke bandar Tanah Merah hari ini. Foto: Bernama, gambar kecil: Mastor Mohd Ariff

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan 873 pegawai dan anggotanya dalam Op Banjir di Terengganu dan Kelantan dalam membantu menangani bencana banjir.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, misi bantuan itu melibatkan keanggotaan dari Kontinjen Terengganu, Kontinjen Kelantan, KDNKA serta Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

"Selain itu, sebanyak 64 buah bot telah digunakan untuk Op Banjir di dua negeri ini.

"Seramai 309 pegawai dan anggota tambahan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, PPM Wilayah 3 dan Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 6 juga dalam langkah bersiap sedia untuk digerakkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, keutamaan paling penting pada masa ini adalah keselamatan mangsa banjir sama ada bagi tujuan pemindahan ke kawasan selamat, mengawasi keselamatan dan ketenteraman awam di samping mengekang penularan wabak Covid-19.

Tambahnya, keselamatan masyarakat yang terjejas banjir adalah yang perlu diutamakan.

Iklan

Pada Ahad, 18 sungai di Terengganu dan Kelantan dilaporkan melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat berterusan yang melanda sejak dua hari lepas.

Menerusi laman web rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kebanyakan paras sungai di dua negeri itu dilihat melebihi tahap amaran dengan trend paras air meningkat.

Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada membabitkan Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu Kuala Terengganu dan Marang) serta Perak (Hulu Perak).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan Kelantan dan Terengganu akan mengalami banjir susulan amaran hujan berterusan waspada yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.