Manifesto PSM tawar tiga teras utama

Iklan
Arangkannal (tiga dari kiri) menunjukkan manifesto PSM yang menawarkan tiga teras utama untuk PRN Johor selepas sidang akhbar di Bilik Gerakan PSM Cawangan Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI - Tiga teras utama akan menjadi tarikan manifesto Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PSM bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, R Arangkannal menjelaskan, tiga teras utama itu melibatkan perumahan mampu milik bukan mampu mimpi, kurangkan kos sara hidup harian rakyat dan skim jana kerja.

Iklan
Iklan

"Program dan skim milikan rumah disediakan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dilihat gagal menyediakan rumah yang mampu dimiliki rakyat khususnya golongan B40.

"PSM akan berusaha agar kerajaan Johor dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi penyedia rumah rakyat dengan mengutamakan rakyat bukannya pihak pemaju semata-mata," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman manifesto PSM di Bilik Gerakan PSM Cawangan Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Arangkannal yang merupakan calon tunggal PSM berkata, manifesto itu juga akan menawarkan peningkatan bilangan rumah dengan harga RM100,000 ke bawah selain mengawal pemilikan rumah oleh pelabur asing bagi mengaut untung mudah.

Iklan

"Selain itu, kita juga akan meningkatkan pembinaan rumah sewa projek perumahan rakyat (PPR) untuk golongan miskin bandar," katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi kos sara hidup rakyat yang tinggi, PSM akan mendesak kerajaan negeri agar mengembangkan industri bekalan makanan tempatan untuk meningkatkan jaminan makanan kepada rakyat Johor.

PSM juga katanya, akan mencadangkan pembukaan tanah kerajaan secara agresif untuk menambah produktiviti tanaman makanan tanpa perlu bergantung kepada hasil import selain mengawal eksport ke Singapura.

"PSM juga akan memastikan perkhidmatan asas seperti bekalan air bersih, kesihatan dan utiliti sentiasa di bawah naungan kerajaan negeri dan tidak diswastakan dengan bermotifkan keuntungan," katanya.

Pihaknya juga mendesak kerajaan supaya tidak membazirkan dana kerajaan menerusi pemberian insentif kepada pelabur atau korporat asing sebaliknya meningkatkan subsidi kepada rakyat.

"Bagi teras ketiga iaitu skim jana kerja, kerajaan harus fokus menjana peluang pekerjaan sendiri dan memberi jaminan kerja kepada warga Johor yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19," ujarnya.

Dalam pada itu, Arangkannal berkata, kerajaan juga harus mewujudkan kerja dalam bidang-bidang yang bermanfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang seperti sektor pertanian dan pemuliharaan hutan, pinggir laut dan juga sungai.

"Kerajaan juga boleh mewujudkan peluang kerja dalam sektor sosial yang memberi tumpuan kepada komuniti miskin tegar, berpendapatan rendah dan orang asli untuk memastikan keperluan mereka dapat difahami selain isu-isu yang dihadapi dapat diselesaikan segera.

"Kami percaya PSM dapat menawarkan satu manifesto parti dan calon yang mengetengahkan suara alternatif rakyat marhaen yang menolak politik elit dan akan berjuang membina kuasa rakyat Johor," jelasnya.