HULU TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berdepan detik cemas apabila trak membawa bantuan mangsa banjir dinaiki bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu terbalik dan hampir tenggelam kerana dibadai arus deras.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang pada Ahad ketika beliau bersama 13 anggota APM menyertai operasi menghantar bantuan makanan mangsa banjir di Kampung Bukit Biah, di sini.
Maliaman ketika dihubungi mengakui masih terkejut dengan insiden tu namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus bersama rakyat yang kini ditimpa kesusahan.
"Saya merasai pengalaman yang mendebarkan kerana lori yang saya dinaiki bersama anggota APM dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan betul-betul di sungai Kampung Lembah.
"Waktu tu saya hanya mampu berdoa agar dimudahkan urusan kerana ketika itu arus air cukup laju dan hampir menenggelamkan lori yang kami naiki," katanya.
Maliaman bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan mereka berjaya diselamatkan anggota penyelamat yang tiba bersama bot 15 minit kemudian.
"Saya bersyukur semuanya selamat namun agak terkilan kerana barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semuanya dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.
"Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi," ujarnya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Ahad berkata, mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 6,963 orang sehingga jam 8 malam ini.