Penduduk Hulu Terengganu lari ke bukit berjaya diselamatkan

Iklan
Keadaan kediaman di Kampung Gunung Menerong dan Kampung Menerong dekat Kuala Berang di Hulu Terengganu yang hampir ditenggelami air.

KUALA TERENGGANU - Ratusan mangsa banjir dari PPSK (Projek Penyusunan Semula Kampung) Felcra Gunung Menerong dekat Ajil di Hulu Terengganu, yang terpaksa melarikan diri ke kawasan bukit di ladang kelapa sawit berikutan rumah mereka ditenggelami air, telah berjaya diselamatkan.

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil Maliaman Kassim ketika dihubungi Bernama petang ini.

Iklan
Iklan

"Betul, semua mangsa banjir di atas bukit yang tular itu telah pun selamat. Cuma saya tiada maklumat terperinci mengenainya.... yang penting semua sudah selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa banjir tersebut, Mohd Naqiuddin Hakimi Khairul Anuar, 31, berkata dia telah dapat menghubungi semula adiknya yang turut terperangkap di bukit tersebut pada 6 petang tadi.

Iklan

"Adik saya Fazeera Izyanie, 29, memaklumkan kesemua mangsa banjir telah mendapat bantuan dari penduduk Kampung Felda Tersat, yang menyelamatkan mereka dari bukit itu.

"Penduduk Kampung Felda Tersat berganding bahu membawa bot dan meredah laluan berbukit untuk menyelamatkan mangsa banjir di bukit tersebut, dan kesemua mereka kini dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pagi tadi, tular di media sosial beberapa video dan gambar yang memaparkan ratusan penduduk terpaksa berlindung di bukit itu, setelah kesemua rumah di kampung itu ditenggelami air.

Iklan

Sementara itu keadaan sama turut berlaku di Hulu Terengganu sejak awal pagi tadi, sehingga menyebabkan ada penduduk kampung terpaksa menyelamatkan diri ke kawasan bukit kerana air naik terlalu pantas.

Wan Suzana Wan Sulong, 37, berkata ibunya yang berusia 70 tahun bersama dua anak saudaranya (10 hingga 13 tahun - dua lelaki, seorang perempuan), hanya sempat melarikan diri ke bukit berdekatan rumah ibunya di Kampung Bukit Gemuruh dekat sini bersama jiran sekampung.

"Emak saya beritahu air naik terlalu cepat, tak dapat nak buat apa-apa. Mereka ramai-ramai selamatkan diri naik ke bukit dekat rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di Jalan Sekayu di sini, hari ini.

Wan Suzana berkata adiknya, Wan Mazira Wan Sulong, 33, yang tinggal di kampung bersebelahan (Kampung Menjing) pula sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh bersama dua anak berusia sembilan bulan dan 14 tahun.

"Rumah emak dan rumah adik tenggelam sampai bumbung, seumur hidup saya, inilah pertama kali banjir besar macam ni, belum pernah jadi lagi. Kalau naik air pun sikit saja,” katanya yang memberitahu PPS didiami adiknya turut dinaiki air sehingga ke tingkat dua sekolah.

Sementara itu Sahabuzan Ahmad, 52, dari Kampung Tanjung Putat di sini berkata kali terakhir banjir besar seperti ini berlaku adalah sekitar 1988. - Bernama