SHAH ALAM - Polis menafikan kenyataan dibuat dalam sebuah video tular yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok mendakwa ketua balai di sini sebagai korup.
Video berdurasi 35 saat berkenaan memaparkan seorang pegawai polis menerangkan kepada penyewa sebuah rumah bahawa pemilik kediaman tersebut memintanya untuk mengosongkan premis terbabit.
Di dalam video tersebut, pemilik akaun TikTok berkenaan turut memuat naik kapsyen 'polis corrupt sekarang masuk line property, hati-hati kalau nak sewa rumah, dan 'lewat bayar rent sebulan, hebat kan owner send polis beruniform'.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pemilik kediaman berkenaan membuat laporan selepas suspek enggan mengosongkan premis walaupun sudah diberi notis dua bulan.
"Suspek sudah tinggal selama dua bulan di rumah tersebut tanpa membuat sebarang bayaran dan polis hadir untuk menasihat suspek bukan memberi amaran.
"Suspek didapati enggan keluar dari rumah yang pengadu benarkan menghuni secara ihsan, sedangkan notis telah diberikan selama dua bulan untuk suspek berbuat demikian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek yang sudah mengosongkan kediaman tersebut sedang dikesan pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor, Hazimah di talian 03-55202222," ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.