Astaf diminta kurangkan denda

Iklan
Mohd Yussof

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (Astaf) diminta untuk mengurangkan hukuman denda yang dikenakan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebelum ini.

Pengasas PSM, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, Astaf wajar mempertimbangkan jumlah denda ke atas PSM yang telah banyak berjasa kepada perkembangan sukan sepak takraw Malaysia dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Kalau kita lihat PSM ini banyak berjasa. Sebagai contoh, PSM yang melahirkan Astaf yang ada ketika ini sehingga barulah wujud Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

"Malah, ketika pertandingan sepak takraw buat julung kalinya diadakan di pentas antarabangsa, PSM dengan kerjasama Malaysia Airlines dan Utusan antara yang terlibat.

Iklan

"Jadi saya harap, ASTAF dapat mengurangkan hukuman yang dikenakan seterusnya dapat menerima PSM semula sebagai ahli gabungan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Untuk rekod, PSM digugurkan keahlian daripada Astaf dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel, antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei tahun lalu.

Iklan

Keputusan itu juga menyaksikan PSM turut dikenakan denda AS$15,000 (RM63,000) sekiranya berhasrat membuat rayuan kepada Astaf terhadap hukuman yang dikenakan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Yussof menggesa kepimpinan baharu PSM segera mengemukakan rayuan kedua untuk kembali bersama Astaf selepas permohonan pertama mereka ditolak sebelum ini.

"Saya lihat, respon yang dikeluarkan Astaf baru-baru ini sebagai petanda positif bahawa PSM masih berpeluang untuk jadi ahli gabungan Astaf.

"Jadi PSM perlu selesaikan masalah yang dibangkitkan Astaf dengan segera iaitu isu denda yang belum dilangsaikan. Saya fikir PSM masih boleh merayu untuk mengurangkan denda itu.

"Apa-apa pun, PSM perlu terima hukuman yang telah dikenakan Astaf itu kerana mereka yang melakukan kesalahan sebelum ini,” ujarnya.