KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Malaysia Airlines Berhad (MAS) akan dijual tidak lama lagi.
Katanya, ia berdasarkan kepada kenyataan daripada PH baru-baru ini berhubung nasib syarikat penerbangan itu.
"Apabila Proton yang masa itu milik penuh syarikat swasta menjual 49 peratus saham mereka kepada Geely, ramai dari PH yang marah.
"Sekarang PH mahu jual ikon negara MAS yang kini 100 peratus milik kerajaan kepada syarikat swasta yang berpengalaman. Bila masa itu tiba hari nanti, agaknya pemimpin PH akan marah juga atau tidak?" soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tutup MAS: Kerajaan timbang semua kemungkinan
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan terbuka mendepani sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi bagi menangani kerugian berterusan syarikat penerbangan itu.
Menurutnya, kerajaan memandang serius saranan penganalisis penerbangan supaya MAS ditutup atau dijual kerana gagal memenuhi sasaran keuntungan.
Selain itu, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi senada dengan Dr Mahathir mengenai syarikat penerbangan itu dan berpendapat jalan terbaik untuk menyelamatkan MAS ialah menjualnya kepada pengendali komersial yang berpengalaman dalam bidang penerbangan.
Jelasnya, layanan istimewa dan suntikan dana yang diberikan kerajaan terhadap MAS wajar dihentikan.