Jujurlah jika disahkan menjadi kontak rapat

Iklan
Kontak rapat boleh bebas keluar untuk bekerja, ke tempat awam atau ke mana sahaja mereka mahu berada. Gambar hiasan.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengumumkan mengenai pemansuhan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi mereka yang menjadi kontrak rapat kes Covid-19.

Jika sebelum ini kontrak rapat juga perlu dikuarantin namun dengan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu ini, ia sudah berbeza.

Iklan
Iklan

Ini bermakna kontak rapat boleh bebas keluar untuk bekerja, ke tempat awam atau ke mana sahaja mereka mahu berada. Protokol ini akan berkuat kuasa bermula esok.

Persoalannya adakah kita semua sudah bersedia untuk menerima perkara ini sebagai satu lagi norma baharu yang perlu diikuti?

Iklan

Jawapannya sedia atau tidak, lama kelamaan kita perlu meneruskan hidup bersama Covid-19. Apatah lagi ketika ini, kes dilihat meningkat semula.

Jadi jika kuarantin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian, sampai bila kita sanggup dikurung sedangkan setiap hari kita perlu bekerja dan berjumpa dengan ramai orang. Kita juga tidak tahu, adakah individu yang kita temui itu bebas Covid-19 atau tidak?

Iklan

Justeru, perlu ada solusi untuk mengatasinya. Mungkin prosedur baharu ini antara langkah awal yang perlu dilaksanakan untuk membiasakan diri dengan Covid-19 ini.

Pun begitu, paling utama dalam hal ini adalah kejujuran diri sendiri. Jika sudah menjadi kontak rapat dan bergejala maka kuarantin dan bekerjalah dari rumah. Jauhilah daripada mendekati orang-orang lain sehingga rasa sudah benar-benar sihat.

Buatlah ujian kit kendiri. Namun yang terbaik, dicadangkan agar ujian dapat dilakukan di klinik kerajaan atau swasta yang bertauliah dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan orang ramai.

Konsep itu sama seperti berjumpa doktor seperti ingin mengambil ubat ketika demam, batuk dan sebagainya.

Berbanding dengan ujian kendiri di rumah, berkemungkinan peratusan untuk menipu itu tinggi, jadi itu pun tidak menyelesaikan masalah. Oleh yang demikian, dari semasa ke semasa, protokol ini perlu dikaji dan dikemas kini mengikut situasi.

Sementara itu, untuk kita semua, teruskanlah jaga SOP dan amalkan konsep #kitajagakita.