SHAH ALAM - Kadar peningkatan harga kediaman yang tinggi dan ketidakmampuan kewangan individu untuk membeli rumah menjadi faktor utama menyebabkan masih terdapat ramai golongan berusia lebih 40 tahun tidak berupaya memiliki rumah.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, harga rumah di Malaysia secara puratanya meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun.
Menurutnya, kos perbelanjaan pemilikan rumah yang agak tinggi di Malaysia sehingga mencecah lebih 25 peratus daripada pendapatan individu dilihat turut menyukarkan pemilikan rumah khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40.
"Ini (pemilikan rumah) satu cabaran yang kalau orang tidak ada duit dan tidak mampu hadapi untuk memiliki rumah. Perbelanjaan ini besar dan kena ingat, ia bukan dalam tempoh satu tahun tapi mencecah 30 hingga 35 tahun dan ia satu komitmen panjang.
"Jadi bila pendapatan tidak cukup, maka makin lama umur makin lanjut, harga rumah pula makin mahal dan mereka akan terus tidak mampu nak memiliki rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu, Mohamad Fazli berkata, tahap pengetahuan dan kesedaran yang rendah berkenaan proses pemilikan rumah turut dilihat menyebabkan ramai individu dalam kumpulan tersebut masih tidak mendapatkan kediaman.
Katanya, ini kerana pembelian rumah melibatkan proses agak rumit termasuk penyediaan wang pendahuluan, pemprosesan dokumen dan perkhidmatan peguam yang pastinya turut membabitkan pertambahan kos.
"Kalau kita dapat pinjaman 100 peratus tidak apa. Tapi kalau tidak pastinya mereka kena bagi wang pendahuluan 10 peratus. Kalau rumah harga RM300,000, jadi mereka dah kena ada siap duit sekurang-kurangnya RM30,000.
"Tapi kalau dia tidak ada persiapan kewangan yang baik, macam mana? Itu belum lagi kira kos duti setem, bayar peguam dan pelbagai lagi yang kalau dikumpulkan memerlukan lebih kurang RM10,000,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI), Dr Suraya Ismail berkata, berdasarkan gandaan median kemampuan memiliki rumah, pasaran perumahan di Malaysia sememangnya berada di paras tidak mampu milik sejak tahun 2002.
Pada masa sama, beliau berkata, kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) bagi pendapatan isi rumah median juga menunjukkan peningkatan lebih perlahan iaitu 11.7 peratus sepanjang tempoh tersebut, iaitu kurang separuh daripada kadar kenaikan harga rumah.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya keadaan tersebut berlarutan ia bakal memberikan kesan terhadap kadar pemilikan rumah rakyat Malaysia yang ketika ini direkodkan melebihi 70 peratus.
"Mungkin peratusan pemilikan rumah itu akan menurun sampai 50 peratus dengan selebihnya itu hanya sewa. Mungkin ada yang berpandangan bahawa trend ini elok tapi saya rasa itu situasi yang tidak sihat,” ujarnya.
Beliau berkata, trend tersebut bakal memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia yang secara umumnya tidak memiliki perlindungan masa tua mencukupi.