KIEV - Wanita yang wajahnya berlumuran darah tidak menyangka dia akan menjadi imej ikonik kempen pencerobohan dilancarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas ia dipaparkan pada hampir seluruh muka hadapan akhbar di seluruh dunia pada minggu lalu.
Brave Olena Kurilo, 52, telah menjadi simbol konflik tersebut dan bukti jelas tentera Rusia sememangnya menyasarkan orang awam tidak berdosa.
Menerusi temu bual eksklusif bersama Daily Mail, wanita itu menceritakan bagaimana dia terselamat selepas sebuah pangkalan tentera berhampiran kediamannya di Chuhuiv dibedil Moscow.
"Saya hampir terbunuh dalam serangan itu. Saya merayu kepada Putin supaya hentikan peperangan ini. Bawa pulang pasukan tentera anda sebelum lebih ramai kanak-kanak terkorban atau menjadi yatim piatu," kata guru tadika itu lagi yang turut bertutur dalam bahasa Rusia.
Menurutnya, penduduk di kawasan itu mula mengikuti perkembangan konflik itu selepas Putin mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Republik Donetsk dan Republik Lugansk.
"Kami menyangka mungkin ada ruang untuk berunding dan tidak pernah terfikir ia akan berakhir dengan peperangan seperti ini," ujarnya dengan nada kesal.
Dia menyalahkan Putin kerana memburukkan lagi krisis tersebut.
"Tiada siapa mahu terjerumus dalam kancah peperangan seperti ini. Saya tonton stesen TV Moscow dan mereka sering kali mendakwa Ukraine mahu menyerang Rusia. Ia adalah tuduhan paling mengarut.
"Saya tahu kami sebenarnya jadi 'mangsa' konflik antara Moscow dan Washington," tegasnya sambil menambah dia sangat sayangkan tanah airnya iaitu Ukraine walaupun ibunya berketurunan Rusia. - Agensi