Liverpool raih pencapaian luar biasa melalui cetak penalti

Iklan
Kelleher (tiga dari kiri) meraikan kejayaan bersama para pemain Liverpool.

PENJAGA gol muda Liverpool, Caoimhin Kelleher menyifatkan kejayaan The Reds merangkul kejuaraan Piala Liga merupakan pencapaian luar biasa dan menakjubkan apabila status juara terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti 11-10 selepas kedudukan terikat tanpa jaringan ketika berdepan Chelsea di Stadium Wembley.

Malah penjaga gol dari Ireland itu mengakui teruja apabila menjadi watak penting dalam memastikan anak buah Jurgen Klopp itu merangkul kejuaraan ketiga selepas Liga Juara-juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya saya tidak menjangkakan dapat menjaringkan gol dalam perlawanan penentuan sepakan penalti seperti ini.

"Ia sememangnya sesuatu yang gila apabila giliran saya mengambil sepakan, malah saya tidak langsung menyangka dapat menjaringkan penalti kemenangan.

Iklan

"Saya hampir berjaya menafikan beberapa sepakan pemain Chelsea, namun semua penalti lawan berkualiti tinggi. Hakikatnya saya bersyukur kami menang kejuaraan ini," katanya yang diturunkan Klopp mengambil posisi Alisson Becker.

Pada perlawanan itu, Kelleher menyempurnakan sepakan penaltinya menewaskan penjaga gol The Blues, Kepa Arrizabalaga yang menggantikan Edouard Mendy untuk penentuan sepakan penalti.

Iklan

Kemenangan itu juga mengakhiri badi perlawanan akhir Klopp dalam dua kejuaraan sebelum ini iaitu ketika mengemudi Borussia Dortmund berdepan Bayern Munich di final Liga Juara-juara dan aksi akhir Piala Liga Liverpool-Manchester City.

Kali terakhir Liverpool mara ke perlawanan akhir kejuaraan itu adalah pada edisi 2016 yang menyaksikan The Reds tunduk mengalah 1-3 Manchester City menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Chelsea pula kali terakhir mara ke pentas perlawanan akhir adalah pada edisi 2019 sebelum akur kehebatan penentuan sepakan penalti Manchester City apabila tewas 4-3 selepas kedua-dua pasukan buntu terikat tanpa jaringan sepanjang tempoh perlawanan.

Liverpool kali terakhir mendakap kejuaraan adalah pada edisi 2012 apabila menewaskan Cardiff City 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Sementara itu, Chelsea pula kali terakhir menjulang kejuaraan tersebut dalam edisi 2015 selepas menjinakkan Tottenham Hotspur 2-0 hasil kapten John Terry (45') dan Diego Costa (56').