SHAH ALAM - Seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini.
Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ujian bertulis itu juga akan melibatkan sebanyak 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.
"Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, seramai 50,514 petugas peperiksaan telah dilantik,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, LP turut mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
Menurutnya, jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.
"Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.
"Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
"Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my,” katanya.