Madzlisham sasar mahu wakil negara ke Sukan Sea Hanoi

Iklan
Ayob Khan (empat dari kiri) bersama Muhammad Nasir (dua dari kanan) dan barisan ahli jawatankuasa penganjur meraikan kemenangan Madzlisham menyambar tali pinggang KWP di Stadium Titiwangsa pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

[DIKEMAS KINI] PETINJU Muay Thai Kelab Kuda Merah PDRM, Madzlisham Mohamed mahu merebut tempat untuk beraksi mewakili Malaysia di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam Mei ini.

Pada, Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2022 yang berakhir di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, Madzlisham berjaya merangkul tali pinggang KWP selepas menumbangkan Muhammad Al-Adnin Osman yang mewakili Kelab Muay Thai Tebuan Emas.

Iklan
Iklan

"Perlawanan hari ini agak sukar kerana saya sedikit takut pada permulaan aksi, namun berjaya mengawal perasaan itu untuk memenangi tali pinggang pada kejohanan ini.

"Saya sangat gembira kerana ini adalah perlawanan saya yang pertama untuk tahun ini dan berjaya memenanginya.

Iklan

"Kemenangan ini juga sedikit sebanyak akan memberi semangat kepada saya untuk merebut tempat bagi mewakili Malaysia dalam kejohanan Sukan Sea di Hanoi nanti," kata petinju berusia 22 tahun itu.

Selain Madzlisham, seorang lagi petinju Kelab Kuda Merah PDRM, Mohd Rais Mohd Junaidi berjaya menyambar tali pinggang superfight tajaan Sinar Harian itu selepas menidakkan cabaran Muhammad Rasyidi Mohd Rofi yang mewakili Kelab Muay Thai Ara Selangor.

Iklan

"Selepas hampir dua tahun tidak beraksi akibat penularan Covid-19, saya sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan pada malam ini

"Saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih saya, keluarga yang tidak berhenti-henti memberi sokongan kepada saya untuk menceburi sukan ini.

"Selepas ini, saya menyasarkan untuk terpilih mewakili Malaysia ke Sukan Sea Hanoi pada Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, petinju Super Boy Extreme Muay Thai Selangor, Lim Chun Fong, Wingen Seaw (Muay Thai Shark KL) dan Khuzairi Azmi Mohd Kamal (KL Seven PMKL berjaya) memenangi baki tali pinggang superfight yang dipertandingkan pada malam itu selepas menumbangkan lawan masing-masing.

Selain Superfight, tali pinggang lain yang turut dipertandingkan pada malam itu ialah Super 4 yang melibatkan kategori 54 kilogram (kg) dan 60kg.

Bagi kategori 54kg dimenangi oleh Faisal Mat Dris dari kelab Muay Thai Piranha Pahang manakala bagi 60kg dimenangi petinju Jordan Top Team, Putra Abdullah Mahmoud.

Untuk rekod, seramai 34 petinju mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari anjuran Kelab Muay Thai Kuda Merah dengan kerjasama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan DBKL sempena Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Emas DBKL.

Turut hadir memeriahkan malam terakhir Kejohanan Kuda Merah Muay Thai KWP dan DBKL 2022 ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.