KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan di luar negara berikutan mereka dikekang oleh mandat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata pada masa ini, sebanyak 28 peratus daripada asetnya berada di luar negara.
"Kami mempunyai tunai yang besar dan jumlahnya meningkat setiap bulan. Setiap bulan, pada asas bersih kami memperoleh RM1.5 bilion hingga RM1.9 bilion.
"Tidak lama lagi, kami akan menjadi dana dengan nilai RM1 trilion. Oleh itu, cabaran yang sebenar ialah di mana kami perlu menyalurkan wang ini?” katanya pada sesi panel bertajuk"Mandat Baharu, Peluang Baharu” sempena Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.
Pada masa ini, KWSP mempunyai jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak RM833.76 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Syed Hamadah Syed Othman berkata dana itu sedang berbincang dengan BNM untuk meningkatkan mandatnya bagi pelaburan di luar negara dan jika berjaya, ia merancang untuk melabur dalam ekuiti swasta.
Aset KWAP di luar negara sebanyak 13 peratus daripada jumlah aset.
Pada sesi itu, Tunku Alizakri menyatakan kebimbangan mengenai penurunan pencarum KWSP, yang merosot kepada 40 peratus pada masa ini daripada jumlah penduduk yang bekerja berbanding 48 peratus pada lima tahun lepas, disebabkan ramai yang bekerja sendiri.
"Mungkin terdapat satu hari apabila KWSP tidak lagi wujud. Oleh itu, cabaran kepada KWSP ialah bagaimana untuk terus relevan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkata susulan penduduk Malaysia mencapai umur persaraan, pengeluaran yang meningkat mungkin turut menyebabkan kekangan tunai kepada KWSP.
"Kita akan menjadi sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk golongan berusia tidak lama lagi. Angka konservatif menunjukkan seawal tahun 2030," katanya.
Tunku Alizakri berkata dana itu perlu menyediakan lebih banyak perkhidmatan untuk menarik orang ramai, terutamanya golongan belia, untuk menyimpan dengan KWSP selain menggalakkan pesara untuk membuat pengeluaran secara berperingkat.
"Kami mempelawa syarikat untuk bekerjasama dengan KWSP bagi kerjasama pelaburan jangka panjang,” katanya, sambil menambah mungkin tiba masanya bagi KWSP untuk melihat kepada pelaburan dalam penerima teknologi awal. -Bernama