KUALA LUMPUR – Padah menyiarkan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, ahli politik dan pasukan polis di media sosialnya, April tahun lalu, seorang penuntut sebuah universiti di Terengganu didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Nur Azira Azman, 22, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu selaku orang kena saman (OKS) dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitternya, @nuraziraazmann pada jam 2.59 pagi, 20 April 2021.
Ciapan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada jam 1.30 tengah hari, tarikh sama.
Perbuatan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan OKS dikenakan hukuman setimpal.
Bagaimanapun, peguam, Mahajoth Singh yang mewakili OKS merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan alasan sudah menyesal atas perbuatan tersebut.
"Ekoran kes ini juga, bapanya tidak lagi bercakap dengannya, jadi saya berharap anak guam saya dikenakan hukuman ringan,” katanya.