KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia untuk pengeluaran tempatan meningkat 9.2 peratus pada Januari 2022 berbanding penurunan 0.1 peratus direkodkan pada Januari 2021, didorong oleh harga minyak mentah dan produk minyak sawit yang lebih tinggi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
IHPR adalah ukuran kos barangan di pintu kilang.
Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Januari 2022 disokong oleh indeks perlombongan yang meningkat 34.3 peratus berbanding penurunan 28.3 peratus yang direkodkan pada Januari tahun lepas.
Katanya, harga minyak mentah dan gas asli yang mencatatkan peningkatan, masing-masing dengan 33.5 peratus dan 39.0 peratus menyumbang kepada kenaikan ini.
Beliau berkata, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat sederhana 12.5 peratus berbanding kenaikan 22.6 peratus yang direkodkan pada Januari 2021.
"Indeks pembuatan turut mencatatkan kenaikan 7.0 peratus (Januari 2021: 1.1 peratus), sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pada indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (19.2 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (17.0 peratus) serta pembuatan komponen dan papan elektronik (0.4 peratus),” katanya.
Pada masa sama katanya, indeks bekalan air dan bekalan elektrik serta gas, masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.9 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir berkata, IHPR pengeluaran tempatan pada Januari 2022 merekodkan peningkatan 1.3 peratus setelah mencatatkan penurunan buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan pada Disember 2021.
"Peningkatan ini disokong oleh peningkatan marginal 4.5 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, terutamanya disebabkan kenaikan harga buah tandan segar kelapa sawit yang merekodkan peningkatan 7.1 peratus,” katanya.
Beliau berkata, indeks perlombongan turut mencatatkan peningkatan 3.1 peratus pada Januari 2022.
Mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, disebabkan peningkatan harga komoditi utama, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 18.3 peratus pada Januari 2022 berbanding penurunan 3.4 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.- Bernama