Tukar di saat akhir bukan bermaksud calon tidak diterima: Hasni

Iklan
Hasni (dua,kiri) ketika beramah mesra bersama peserta Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai di sini, pada Isnin.

KULAI - Pertukaran calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilakukan pada saat akhir selepas pengumuman calon bukan bermaksud individu berkenaan tidak diterima atau tidak layak bertanding.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, sebaliknya perkara itu adalah tindakan untuk membolehkan parti menyesuaikan pemilihan calon-calon mengikut kriteria dan komponen utama bagi meraih kemengan pada PRN berkenaan.

Iklan
Iklan

"(Pertukaran calon) ia tidak bererti bahawa perubahan itu sebagai kaedah atau mendapati calon berkenaan tidak sesuai, bukan begitu.

"Ini adalah kerana kita mahu menggunakan pendekatan representasi wanita yang tinggi, representasi orang muda yang sewajarnya dan meletakkan kelulusan akademik sebagai komponen penting (pemilihan calon)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO sebagai komponen BN mengumumkan pertukaran calon selepas pengumuman dibuat yang menyaksikan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat ditukar.

Iklan

Calon berkenaan adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin mengantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman bagi DUN Tanjung Surat dan Selamat Takin menggantikan Mohd Helmi Abd Latif di DUN Sungai Balang.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberitahu, pertukaran calon berkenaan adalah perkara yang biasa malah turut dilakukan oleh rakan-rakan parti komponen.

"Pertukaran akhir itu dibuat atas semangat BN, kita lihat parti seperti MCA juga mengubah senarainya dan MIC juga berbuat demikian. Sudah tentu UMNO perlu membuat penyesuaian apabila kita mahu memuktamadkan pengagihan kerusi dalam BN," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai adakah terdapat penolakan daripada jentera selepas proses penamaan calon selesai, Hasni hanya memaklumkan setakat ini jentera parti masih belum berfungsi dengan sepenuhnya.

"Saya tidak nafikan bahawa jentera BN masih belum 100 peratus beroperasi, dan pengalaman mengajar kita bahawa jentera di sepanjang tempoh kempen ini sentiasa menggunakan kaedah mendekati pengundi secara beperingkat

"Kita membuat kajian di lapangan untuk menambah baik lagi pendekatan jentera BN dari semasa ke semasa," katanya.