TANGKAK - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menganggap Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan oleh UMNO dan Pas kini sudah tiada.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, perkara itu tidak perlu diselindung lagi.
"Dapat pahala niat. Niat untuk bergabung, niat untuk bersatu,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama lima media pada Ahad.
Saarani turut menjelaskan mengapa pada pandangannya MN sudah tiada.
"Saya kena ingatkan sekali lagi kepada semua orang. Tajuk penyatuan ini kena diingat. Penyatuan bermakna saling sokong menyokong, saling kukuh mengukuh dan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Itu penyatuan.
"Tapi kalau penyatuan, nak ambil kerusi orang itu, nak ambil kerusi orang ini, apa benda? Kita saling melemahkan antara satu sama lain. Kita saling menindas antara satu sama lain.
"Penyatuan itu maksudnya mesti ada toleransi, saling percaya mempercayai, mesti ada niat untuk saling kukuh mengukuhkan, baru penyatuan,” ujarnya.
Beliau juga memberi contoh semasa PRN Melaka sebelum ini, UMNO telah menawarkan kepada Pas sebanyak lima kerusi yang boleh dimenangi oleh parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.
"Dengan sokongan UMNO di Melaka, Pas boleh menang lima kerusi. Sebab Pas bukan kuat di Melaka. Tidak kuat. Tidak boleh menang pun tapi oleh kerana dia tak nak, tidak cukup lima, nak lebih, dah tinggal berapa kerusi UMNO ini?
"Penyatuan antara UMNO dan Pas ialah saling kukuh mengukuh. Bukan saling lemah-melemah. Sama juga di Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) kalau begitu,” katanya.
Saarani juga diminta mengulas mengenai sama ada usul mengenai MN sudah tiada akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada pertengahan bulan Mac ini atau sebaliknya.
Beliau bagaimanapun memberitahu perkara tersebut bergantung kepada MKT kerana pihak terlibat yang akan memutuskan usul terlebih dahulu.
"Oleh kerana MN itu ditubuhkan berasaskan kepada keputusan MKT UMNO, disahkan oleh PAU, maka kalau nak bubar pun saya yakin ia kena saluran yang sama,” jelasnya.
Sementara itu, Saarani menegaskan tiada keperluan untuk Perak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Johor.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan Perak yang dipimpinnya adalah stabil dan tidak akan ‘jatuh’.
Saarani turut mengambil contoh komposisi terkini bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri dipimpinnya.
"Sebab apa stabil? Sebab BN ada 25 (ADUN), Pas ada tiga dan Bersatu ada empat menjadikan jumlah 32. Kita ada tiga lagi ADUN yang dahulunya Bersatu sudah masuk parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia.
"Walaupun mereka tidak lagi bersama Bersatu, tetapi mereka sudah menulis kepada Speaker mengatakan bahawa ketiga-tiga mereka adalah penyokong kerajaan menjadikan jumlah 35 ADUN.
"Ditambah seorang lagi ADUN Bebas menjadikan jumlah keseluruhan 36 ADUN. Dengan bilangan 36 ADUN ini, kerajaan Perak ini kuat,” katanya.
Saarani dalam masa yang sama turut menepis ramalan daripada penganalisis politik yang meramalkan Perak akan mengadakan PRN