JOHOR BAHRU - Seramai 42 calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTag) bagi membuktikan setiap calon mempunyai integriti dan jati diri yang tinggi.
Malah rata-rata mereka menyambut baik ujian RBTag tersebut dan menyifatkan ujian itu tidak sukar.
Calon termuda PRN Johor yang bertanding di DUN Tangkak, Muhammad Airel Zabridin, 26, berkata, ujian RBTag tidak terlampau sukar kerana soalan yang diberikan berkisar kepada kehidupan seharian.
"Bagi saya 50 soalan yang dikemukakan lebih kepada logik akal. Ujian ini cukup penting kepada setiap calon yang bertanding kerana pengundi dapat menilai calon yang bakal dipilih kelak berintegriti.
"Tidak perlu risau, sekiranya ahli politik melakukan ujian RBTag, malah kelebihan menjalani ujian psikometrik ini juga boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ujian RBTag di sebuah hotel di bandar raya ini pada Isnin.
Dalam pada itu, calon DUN Sungai Balang, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal, 28, menyifatkan soalan ujian psikometrik yang diberikan itu adalah berkisar kepada situasi yang dilalui dalam kehidupan.
"Soalannya tidaklah terlalu sukar namun kita perlu jujur dalam menjawab ujian ini kerana ia menjadi kayu ukur nilai integriti sebenar setiap calon.
"Apabila Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukriz Mahathir mewajibkan kesemua 42 calon parti menduduki ujian psikometrik ini, tiada sebarang bantahan dari kami malah ia sesuatu yang mengujakan," katanya.
Sementara itu, Pengarah RBTag Rasuah Busters, Datuk Rosmadi Ghazali berkata, kesemua calon terbabit dibahagikan kepada tiga sesi ujian bermula jam 10 pagi dan dijangka selesai pada jam 4 petang.
Katanya, ujian RBTag tersebut cukup penting diduduki setiap calon kerana boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah yang boleh berlaku dan terdedah dalam masyarakat pada masa ini.
"Setakat ini kita tiada pengukur untuk menilai bagaimana seseorang individu itu boleh dipilih sebagai pemimpin ditambah dengan isu rasuah yang perlu diperangi.
"Justeru kita mahu calon bagi setiap pilihan raya menjalani ujian ini dalam melahirkan pemimpin berintegriti tanpa rasuah. Ujian ini telah diamalkan oleh negara-negara yang berada pada kedudukan 20 peratus berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (RCI) termasuk negara jiran Singapura," jelasnya.