SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam proses rundingan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Vietnam, Kemboja, India and Sri Lanka selepas tempohnya tamat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika ini kementeriannya sedang dalam proses untuk memuktamadkan MoU Pekhidmat Domestik Indonesia selepas mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lalu.
Beliau berkata, kementerian itu memandang serius isu pengurusan pekerja warga asing yang telah dibangkitkan pelbagai media kebelakangan ini dan penjelasan lanjut perlu diberikan bagi meleraikan kekeliruan tersebut
"KSM telah diberi mandat untuk mengetuai rundingan dan memuktamadkan semua MoU berhubung pengambilan pekerja warga asing dengan negara sumber. MOU pertama telah ditandatangani oleh Malaysia melalui KSM dengan Republik Rakyat China melalui Kementerian Perburuhan mereka pada tahun 2003.
"Sehingga kini, KSM telah berjaya memeterai MoU dengan 10 negara sumber dan sedang dalam proses untuk memuktamadkan MOU yang telah tamat tempoh. Pada bulan November 2021, KSM telah menandatangani MoU dengan Bangladesh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, KSM juga merupakan kementerian yang bertanggungjawab dalam melindungi hak pekerja termasuk pematuhan kepada undang-undang perburuhan, terma dalam kontrak pekerjaan dan lain-lain isu perburuhan seperti cuti tahunan dan pembayaran gaji.
Dalam hubungan itu, kata Saravanan, KSM telah mencadangkan pelaksanaan eWages sebagai sistem pemantauan gaji yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari lalu.
"Sistem eWages ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji kepada pekerja warga asing," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau memberitahu KSM dalam perancangan mengawal selia Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) bagi memantau pengurusan pekerja warga asing dengan lebih efektif.
Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa lima tahun.