KOTA TINGGI - Tindakan sabotaj terhadap mana-mana bahan kempen parti lawan tidak sepatutnya berlaku lagi di Malaysia, kata Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulinah A Johari.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden sebuah poster partinya dengan gambar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mempunyai kesan koyakan pada bahagian muka dan logo parti berkenaan.
Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pembantunya, Akhmaradi Abd Rashid, 44, pada pagi Isnin.
"Sepatutnya perkara ini tidak perlu berlaku sebab di Malaysia sendiri memang kita meraikan demokrasi. Jadi, saya anggap benda ini sebagai cabaran untuk saya dan kalau betul mereka ada kekuatan, tidak perlu risau dengan hanya gambar Presiden kami sahaja.
"Tidak perlulah gentar atau melakukan sabotaj sebegini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian bagi mengesahkan mengenai gambar kerosakan poster tersebut yang beredar di aplikasi WhatsApp pada Isnin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan kempen setakat ini, Zulinah yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Johor berkata, beliau masih tidak dapat melaksanakannya 100 peratus kerana terikat dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Menurutnya, kekangan itu merupakan satu cabaran kerana ramai pengundi di kawasan tersebut lebih mengenalinya dengan nama samaran berbanding nama digunakan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
"Sebab saya ini kalau di Felda Nitar 2 saya dikenali dengan nama gelaran yang lain. Jadi bila menggunakan nama Zulinah A Johari ini mereka macam keliru sikit.
"Bila kita pergi ke rumah saya terpaksa perkenalkan diri bahawa saya anak kepada ‘Wak Johari’ kedai, baharu mereka tahu ini yang nama dia ‘Sabar’ (nama gelaran). Sebab di sini saya lebih dikenali dengan nama gelaran,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, Zulinah akan merebut kerusi DUN Tenggaroh berdepan Raven Kumar Krishnasamy, calon dari Barisan Nasional (BN), Mohd Firdaus Abd Rahman (Pejuang), Roslan Nikmat (Perikatan Nasional).