BATU PAHAT - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memaklumkan calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Azrol Rahani telah dikenakan kompaun pada Sabtu.
Muda dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Azrol dikenakan kompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Kata Muda, kesalahan yang dibuat adalah kerana individu gagal membuat penjarakan fizikal iaitu sentuhan tangan di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Permai Dewan Raya Bandar Putra Kulai.
"Jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM1,000.
"Kesalahan penjarakan sosial yang dirujuk adalah perbuatan ‘fist bump’ antara calon dan penyokong di luar pusat penamaan calon
"Muda telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa,” katanya.
Tegas Muda, kompaun yang dikenakan itu jelas tidak munasabah dan tidak berlandaskan kepada butiran prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, perkara itu jelas boleh mengganggu perjalanan kempen setiap calon.
"Malah, Muda juga menerima maklumat berkenaan majlis keraian yang dilakukan oleh pemimpin parti lain yang jelas melanggar SOP dengan lebih jelas pada skala lebih besar yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.
"Muda menggesa Kerajaan Malaysia untuk bersikap telus dan adil dalam hal ini,” ujarnya.