KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemilihan Malaysia buat kali ketiga sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2022 hingga 2024 merupakan cerminan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kewibawaan diplomasi negara ini.
Justeru, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia perlu menjadikan platform itu untuk berperanan aktif menyuarakan kepentingan negara-negara kecil dan golongan tertindas.
Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia juga perlu mengambil peluang sebagai anggota badan dunia itu bagi memastikan kepentingan negara terus dipertahan.
"Beta ingin menzahirkan ucapan syabas atas kejayaan Malaysia terpilih buat kali ketiga untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk penggal 2022 hingga 2024,” titah Al-Sultan Abdullah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di sini pada Isnin.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan kepercayaan hubungan antarabangsa Malaysia akan terus menyerlah dengan pelaksanaan Kerangka Dasar Luar Negeri.
Al-Sultan Abdullah bertitah, penekanan dan pendekatan baharu terhadap perkara penting merangkumi Diplomasi Kesihatan,Ekonomi Digital, Diplomasi Kebudayaan, Keselamatan Siber dan Kewujudan Bersama Dalam Keamanan perlu diberi tumpuan.Selain itu, Al-Sultan Abdullah berharap tahap keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan serta pertahanan negara perlu sentiasa diberi keutamaan.
"Ia termasuk memperkukuh pembangunan kapasiti, perolehan aset-aset baharu, penyelenggaraan dan menaik taraf aset keselamatan supaya negara sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi berhadapan sebarang ancaman dari dalam dan luar negara," titah Seri Paduka Baginda.
"Konsep pertahanan menyeluruh juga hendaklah diperkukuh melalui platform kerjasama dua hala dan pelbagai hala supaya keselamatan dan kedaulatan negara kekal terpelihara,” titah Al-Sultan Abdullah.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan akan terus mengukuhkan dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan dan nilai murni serta persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
Semua pihak, titah Seri Paduka Baginda, sewajarnya menyokong usaha yang dilakukan kerajaan demi merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik Covid-19.
Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik usaha penubuhan Majlis TVET Negara, Pelancaran Plan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Pendidikan Tinggi 2021 -2025 yang bertujuan melahirkan graduan holistik dan seimbang.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak dan warga emas, memperkasa golongan wanita serta Orang Kurang Upaya (OKU) dan memperkukuh institusi keluarga perlu diperhebatkan.
"Usaha murni kerajaan untuk membentang Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual adalah sangat dialu-alukan. Usaha ini akan dapat memberi manfaat dan pembelaan kepada golongan yang terkesan,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah juga mahu dasar penetapan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan diteruskan demi mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan itu dalam arus pembangunan negara.
Berkenaan penyertaan belia dalam pembangunan negara, Seri Paduka menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Model Baharu Pembangunan Belia 2021-2030 dan menyifatkan pelaksanaan Undi 18 membuka dimensi baharu kepada belia dalam menentukan masa depan dan kepimpinan negara. - Bernama