TNB giat pulihkan bekalan elektrik di Terengganu, Kelantan

Iklan
Pasukan Pepasangan Talian Atas Grid TNB sedang melakukan kerja-kerja pemasangan wayar pembumian sementara di menara Talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Kenyir sebagai persediaan bagi aktiviti pemulihan semula talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Chendering. (Gambar kecil: Baharin)

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pihaknya sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Iklan
Iklan

"TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang sedang diuji dengan bencana. Kami juga sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan elektrik di waktu bencana banjir ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, pihaknya akan berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin, namun keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha membaikpulih bekalan.

Iklan

"Antara keutamaan kami adalah memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain termasuk melakukan pengujian bagi memastikan keadaan aset-aset ini selamat untuk menyalurkan bekalan.

"Pasukan Pepasangan Talian Atas Grid TNB juga sedang melakukan kerja-kerja pemasangan wayar pembumian sementara di Menara Talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Kenyir sebagai persediaan bagi aktiviti pemulihan semula talian 132kV dari Kuala Terengganu ke Chendering.

Iklan

"Pemulihan talian Grid ini sekali gus akan meningkatkan daya harap dan kesiapsiagaan bekalan elektrik talian 132kV ke kawasan Chendering dan sekitarnya bagi menghadapi fenomena bencana banjir ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TNB juga akan segera memberikan semula bekalan, sebaik keadaan mengizinkan dan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

"Selain PPS, kami akan memastikan bekalan elektrik yang berterusan ke premis strategik seperti hospital dan balai polis termasuk melalui set janakuasa mudah alih jika premis berkenaan tidak dapat menerima bekalan daripada pencawang,” katanya.

Baharin turut menasihati pengguna di kawasan banjir untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau facebook TNB CareLine jika ada pepasangan TNB, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

"Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik,” ujarnya.