KUALA LUMPUR - Arab Saudi memansuhkan had umur untuk pelawat dan jemaah memasuki Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sama ada bagi tujuan umrah mahupun ziarah, dengan syarat memiliki status ‘imun’ dalam aplikasi ‘Tawakkalna’.
Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Saudi menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya pada Ahad menyatakan, tiada lagi had umur ditetapkan bagi pelawat dan jemaah umrah memasuki Dua Masjid Suci.
"Hanya perlu status imun dalam aplikasi Tawakalna dan memiliki permit sah sewajarnya menerusi aplikasi Eatmarna”, menurut hantaran MoHu di laman Twitternya.
Sebelum ini, hanya pelawat dan jemaah berumur tujuh tahun ke atas dan telah lengkap divaksin dibenarkan memasuki kedua-dua masjid itu.
MoHU juga dijangka melonggarkan SOP dan langkah-langkah pencegahan lain seperti penjarakkan sosial dan fizikal memandangkan kes Covid-19 di negara itu terus mencatatkan penurunan ketara, sebagai persediaan meningkatkan kapasiti jemaah pada bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sementara itu, akhbar Saudi ‘Okaz’ yang memetik sumber kementerian menyatakan kelonggaran itu diberikan berikutan peningkatan kadar vaksinasi di kalangan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun di negara itu.
Awal bulan ini, Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut berkongsi SOP semasa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang antara lain menyenaraikan hanya individu berusia 12 tahun ke atas dibenarkan mengunjungi Dua Masjid Suci berkenaan.
Sehingga 12 tengah hari Ahad, Arab Saudi merekodkan 632 kes baharu COVID-19, 995 kes sembuh dan dua kematian. - Bernama