KOTA TINGGI - Kehadiran gajah liar di sekitar Kampung Lukut, di sini yang berlaku hampir setiap tahun sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di kawasan tersebut sejak lebih kurang 10 tahun lalu.
Kehadiran haiwan tersebut yang dipercayai datang dari Hutan Gunung Panti yang terletak hanya kira-kira dua kilometer dari kampung itu berlaku disebabkan untuk mendapatkan makanan.
Penduduk, Afzainizam Kastari, 50, berkata, apabila masuk ke kawasan kampung atau ladang, gajah liar tersebut akan mencari makanan seperti umbut atau buah daripada kelapa dan pokok sawit.
"Walaupun tidak selalu tetapi tiap minggu akan adalah kes. Dia (gajah) ikut kitaran dia. Tapi susah juga nak cakap sebab kita tidak tahu kitarannya macam mana.
"Tapi kalau sampai masa kitaran dia, gajah ini akan ada di kampung dalam dua tiga hari seminggu. Kalau dia ada seminggu maka seminggulah dia akan pusing dalam kampung ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Lukut pada Isnin.
Begitupun, Afzainizam berkata, dalam tempoh tersebut, gajah liar yang kebiasaannya berkeliaran pada waktu malam itu setakat ini masih tidak bertindak agresif terhadap penduduk sebaliknya hanya merosakkan tanaman untuk mendapatkan makanan.
"Dia tidak pernah cederakan orang. Orang kampung pun tidak aniaya dia, cuma halau dengan mencampak mercun di tepi-tepi gajah agar dia masuk semula hutan.
"Dulu mula-mula macam pelik juga sebab gajah ini muncul semula. Mungkin sebab masa itu orang dah tanam sawit, jadi masa itulah dia kerap datang. Sebelum ini tanam getah tidak berapa sangat,” ujarnya yang juga merupakan generasi ketiga di kampung tersebut.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kerosakan tanaman yang berlaku di kebun dan ladang akibat kehadiran haiwan liar itu, Afzainizam berkata, penduduk kampung sebelum ini pernah mencadangkan supaya kerajaan negeri memberikan sedikit ganti rugi jika berlaku kejadian sedemikian.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengusaha kebun keluarganya di kampung tersebut berkata, perkara itu masih belum diambil perhatian untuk dilaksanakan di kawasan tersebut yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Jantan Pendek, 85, berkata, insiden gajah berkeliaran yang berlaku pada tahun lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap 200 pokok sawit di ladangnya dalam tempoh semalam.
Menurutnya, kehadiran gajah yang datang dalam kelompok besar sehingga mencecah 30 ekor dalam satu kumpulan itu juga telah merosakkan tanaman beberapa peladang lain di beberapa kampung sekitar.
Jelasnya, kadar kehadiran gajah secara berkumpulan itu yang berlaku sejak awal hingga akhir tahun lalu itu juga disifatkan luar daripada kebiasaan.
"Biasa setiap tahun ada tapi tidak pernah nampak banyak sampai macam ini sehingga 33 ekor. Orang tengok gajah dah macam pesta. Tapi penduduk tidaklah duduk dekat sangat dengan gajah itu dan setakat ini dia tidak bahayakan orang,” katanya yang turut memaklumkan ketinggian gajah yang berkeliaran itu boleh mencecah antara 2 hingga 2.5 meter.
Sementara itu, Jantan berkata, gajah liar sememangnya berkeliaran di kawasan tersebut sejak tahun 1960-an dengan kadar kehadiran antara empat ke lima ekor.
Bagaimanapun, dia berkata, haiwan tersebut ketika itu tidak mendatangkan sebarang gangguan terhadap tanaman di kampung berkenaan.
"Mungkin makanan dia yang sebenarnya di dalam hutan itu dah berkurangan. Jadi itu sebabnya gajah ini masuk ke kampung kerana di sini semua semua jenis makanan seperti tebu, pisang dan nangka ada,” jelasnya.