KLANG - Seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa hiperaktif didapati tersangkut dalam mesin pengering pakaian ketika bermain di rumahnya di Taman Hassan, Sungai Udang, di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai enam anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di rumah mangsa pada jam 2.14 petang untuk menjalankan operasi menyelamat.
Norazam berkata, mangsa, Muhammad Amir Rayyan Azman, 6, tersangkut hingga paras bawah lengan berjaya diselamatkan selepas 15 minit operasi menyelamat dijalankan.
"Pihak bomba bertindak mengeluarkan kanak-kanak tersebut daripada mesin pengering pakaian. Setelah berjaya dikeluarkan, peperiksaan di bahagian kaki mangsa dibuat bagi memastikan tiada sebarang kecederaan dialami olehnya.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada ayahnya," katanya dalam satu laporan pada Isnin.