KUALA BERANG - Seorang warga emas terpaksa menahan pilu apabila rumah yang didiaminya di Kampung Belukar Bukit di sini sejak lebih 15 tahun lalu rosak teruk akibat ditimpa kayu-kayu yang dibawa arus deras banjir pada Ahad.
Kejadian pada sekitar jam 11 pagi yang dipercayai berpunca daripada kepala air itu menyebabkan Endon Ismail, 67, bersama suami Nawang Mohamad, 70, kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.
"Semasa kejadian makcik menumpang di rumah jiran yang terletak di hadapan rumah kerana air telah melimpah depan rumah dan orang kampung suruh pindah. Makcik tidak dengar apa-apa sehinggalah ada orang kampung datang beritahu dan makcik tengok ada bahagian rumah runtuh ditimpa kayu-kayu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Belukar Bukit di sini pada Isnin.
Kejadian tersebut menyebabkan struktur bahagian luar rumah Endon musnah manakala di bahagian dalam rumahnya dipenuhi kayu dan lumpur.
Endon berkata, kejadian banjir pada kali ini disifatkannya sebagai luar biasa memandangkan kampung itu tidak pernah dilanda banjir seteruk itu sejak lebih 60 tahun lalu.
Walaupun sedih, ibu kepada lima anak itu tetap reda akan ujian yang menimpanya dan buat sementara waktu ini beliau akan tinggal di rumah besannya di Felda Mengkawang di sini.
Dalam pada itu anak Endon, Elmin Nawang, 43, berkata, ketika kejadian beliau sedang memasukkan barangan penting ke dalam keretanya yang terletak kira-kira 50 meter daripada rumah ibunya itu sebelum terdengar bunyi bising daripada bahagian belakang rumah.
"Sebelum kejadian air sudah melimpah di bahagian depan rumah tetapi saya redah juga untuk selamatkan barangan penting. Selepas isi barang dalam kereta saya ingin masuk ke rumah semula untuk ambil barang lagi. Pada waktu itu lah arus deras bersama kayu datang secara tiba-tiba,”
"Pada waktu itu isteri saya (Saliza Ahmad Saidi, 37) dan tiga anak kami berusia 11 hingga dua tahun berada di dalam kereta dan kereta pun hampir dihanyutkan arus deras namun berjaya diselamatkan orang kampung yang menolak kereta ke kawasan selamat,” katanya. - Bernama