SIMPANG RENGGAM - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang, Dr Maszlee Malik mahu jadikan Johor sebagai negeri berpendidikan setaraf dengan Singapura.
Beliau berkata, Johor perlu menjadikan Singapura yang merupakan negara termaju di Asia Tenggara. sebagai kayu ukur untuk menyasarkan peluang pendidikan sekata dan berkualiti bagi negeri tersebut.
Tambahnya, pendidikan bukan hanya sekadar terletak di tanggungjawab kerajaan pusat tetapi juga kerajaan negeri.
"Tekad saya kali ini untuk menjadikan Johor sebagai negeri berpendidikan dan ini menjadi agenda utama yang kita ingin sasarkan.
"Mungkin ada yang mengatakan pendidikan ini milik kerajaan pusat tetapi kerajaan negeri boleh menyediakan prasarana ekosistem, fasiliti dan juga insentif untuk memungkin pendidikan tidak diabaikan dan menjadi agenda utama,
"Selangor contohnya dah melakukan banyak insentif daripada kelahiran sehingga kematian antaranya pendidikan, tuisyen percuma, sumbangan one-off ke institut pengajian tinggi (IPT) dan sekarang mereka pergi kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Di Johor saya boleh mewujudkan ekosistem pendidikan tersebut dan mungkin lebih daripada itu," katanya dalam Program Sinar Live Khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar sebagai moderator.
"Isu perumahan dan pemilikan tanah ini memang zaman-berzaman berlaku dalam tempoh pemerintahan PH.
"Selama 22 bulan kita cuba untuk mengatasinya tetapi tempoh itu terlampau singkat dan kita menyasarkan apabila kembali kepada kerajaan negeri maka kita boleh teruskan dan mulakan," ujarnya.
Tambah beliau, cita-citanya juga untuk menjadikan negeri Johor mesra orang kurang upaya (OKU), dari peringkat kanak-kanak sehingga warga tua.
"Kita ingin melihat prasarana, peluang pendidikan, kesihatan dan ekosistem kepada golongan OKU ini.
"Kita akan jadikan Johor negeri model dan itu tekad saya," katanya.