SHAH ALAM - Calon parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamed Noor Suleiman mahu memastikan aktiviti ekonomi yang mampan sekiranya menang di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, ia supaya aktiviti ekonomi itu berterusan dan dapat dinikmati oleh generasi yang seterusnya.
"Selain ekonomi yang mampan, harapan saya di DUN Mahkota adalah supaya bandar ini menjadi bandar yang berdaya tahan.
"Bermaksud adanya amalan (perancangan) yang boleh membantu kita sekiranya terdapat bencana yang akan menimpa pada masa hadapan," katanya menerusi satu video di saluran YouTube Suara Untuk Semua.
#SuaraUntukSemua adalah usaha bersama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan kerjasama Astro Awani, Sinar Harian, SinChew Daily dan The Star bagi menyediakan akses media saksama kepada semua calon dalam PRN Johor sebagai sebahagian daripada kempen PRN Johor.
Liputan adalah termasuk platform media sosial, media cetak dan TV oleh rakan media terlibat.
Untuk mengambil peluang bagi menyampaikan mesej kepada pengundi, calon boleh merekod video mesej tidak lebih daripada lima minit dan hantarkan kepada BERSIH di media@bersih.org atau Telegram t.me/BersihOfficial sebelum 9 Mac.
Video akan dimuat naik di saluran YouTube #SuaraUntukSemua dan media terlibat akan mengambilnya untuk diterbitkan.