GIMNAS berbakat besar Muhammad Sharul Aimy Kamarul berpotensi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jeremiah Loo Phay Xing, yang bersara baru-baru ini.
Jurulatih gimnastik artistik lelaki kebangsaan Ng Shu Liang berkata walaupun Sharul, 20, mempunyai masa depan cerah dalam arena sukan tersebut, atlet kelahiran Terengganu itu masih memerlukan masa untuk memperbaiki diri.
"Saya dapat lihat Sharul sebagai pengganti Jeremiah. Dia tidak bernasib baik sebelum ini kerana mengalami beberapa siri kecederaan (termasuk kecederaan lutut).
"Tetapi saya gembira kerana dia telah menunjukkan kemajuan dan semakin baik selepas saya membawanya berlatih di bawah saya tidak lama dulu. Sekarang setelah pulih, Sharul perlu sedikit masa untuk mengecap kejayaan kerana dia masih muda,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Jurulatih berusia 38 tahun itu percaya penyertaan dalam lebih banyak pertandingan akan memberi kelebihan kepada Sharul, selepas atlet itu membawa pulang perak dalam acara melombol (vault) pada kejohanan Egyptian Pharaohs Cup 2021 di Mesir, Disember lalu.
Shu Liang berkata beliau kini membantu Sharul dan seorang lagi gimnas, Tan Fu Jie, bersedia untuk menghadapi kejohanan seterusnya iaitu Apparatus World Cup Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) 2022 di Kaherah, Mesir, dari 17 hingga 22 Mac ini.
Jurulatih kelahiran Perak itu berkata, Sharul bakal bertanding dalam dua acara iaitu melombol dan senaman lantai, manakala Fu Jie akan menyertai acara kekuda berpelana.
"Selain sebagai acara pemanas badan sebelum Sukan SEA di Hanoi, Mei ini, pertandingan di Kaherah sangat penting bagi Fu Jie bagi mendapatkan semula temponya dan daya saing selepas kali terakhir beraksi di Melbourne pada February 2020,” katanya.
Beliau turut berharap agar Persekutuan Gimnastik Malaysia serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menunaikan hasratnya untuk membawa enam atlet bagi mewakili negara pada Sukan SEA akan datang.
Ditanya pendapatnya tentang persaraan Jeremiah, Shu Liang mengaku ia adalah satu kehilangan besar buat kem gimnastik lelaki negara, namun beliau menghormati keputusan anak buahnya itu untuk bersara kerana kecederaan pada pergelangan tangan kiri.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka perlu maju ke depan dan percaya berita persaraan itu menaikkan semangat atlet junior untuk menunjukkan kebolehan mereka.
Tahun lepas, Jeremiah, yang juga atlet kelahiran Pulau Pinang, meraih pencapaian membanggakan dalam kerjayanya selepas beliau menjadi gimnas lelaki kedua Malaysia membuat penampilan di Olimpik, selepas Ng Shu Wai pada Olimpik Athens 2004.
Jeremiah menamatkan kempen Olimpik Tokyo 2020 pada kedudukan ke-62 daripada 66 gimnas pada pusingan kelayakan Individu All-Around dengan mencatat 67.498 mata. - Bernama