SOFIA - Perdana Menteri Bulgaria, Kiril Petkov memaklumkan Menteri Pertahan negara itu akan dipecat pada Isnin kerana pendiriannya yang tidak berpihak kepada Ukraine selain enggan menggelar konflik itu sebagai 'perang'.
Menurutnya, sesi luar biasa kerajaan akan meluluskan pemecatan Stefan Yanev.
"Tiada menteri pertahanan di bawah kepimpinan saya boleh sewenang-wenangnya menggunakan istilah 'operasi' dan bukannya perkataan perang," tegasnya.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Yanev yang didakwa sebagai sekutu rapat kepada Presiden pro-Rusia, Rumen Radev enggan merujuk konflik di Ukraine sebagai 'peperangan' ketika wawancara bersama stesen TV dan perkongsiannya di media sosial.
Beliau lebih gemar menggunakan istilah 'operasi ketenteraan' dan 'campur tangan ketenteraan' yang digunakan Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika mengumumkan kempen pencerobohan ke atas Kiev pada Khamis lalu.
Kenyataan beliau bagaimanapun mencetuskan kemarahan awam hingga orang ramai mewujudkan petisyen bagi menuntut pemecatannya.
Sofia dijangka mengumumkan pengganti Yanev dan Parlimen bakal meluluskan rombakan tersebut ketika sesi luar biasa pada Selasa.
Difahamkan, Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu telah mengekalkan hubungan kebudayaan dan sejarah dengan Rusia malah ia turut bergantung penuh kepada sumber tenaga dari Moscow sejak kejatuhan komunisme pada 1989.
Sofia yang mempunyai 200,000 penduduk minoriti di Ukraine melarang pesawat Rusia dari ruang udara negara itu selain berikrar untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan logistik ketenteraan kepada Kiev. - AFP