PERSIAPAN Selangor FC sudah hampir siap sepenuhnya menjelang perlawanan pertama Liga Super berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, pengendalinya, Michael Feichtenbeiner berkata, masih wujud kelemahan dalam skuad Gergasi Merah terutamanya di bahagian pertahanan yang dilihat kurang ampuh ketika ini.
Justeru, beliau berkata, baki beberapa hari sebelum sepak mula Liga Super akan digunakan sebaiknya bagi memantapkan bahagian tersebut sebelum turun menentang juara Piala Malaysia itu.
"Saya gembira dengan komitmen setiap pemain kerana mereka membina persefahaman yang baik. Tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.
"Kami akan fokus kepada kawasan pertahanan tertentu supaya ia akan lebih stabil dan kukuh,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Selangor FC.
Pada masa sama, jurulatih kelahiran Jerman itu berpuas hati dengan jentera serangan Selangor FC yang dilihat cukup tajam dalam beberapa aksi pramusim sebelum ini.
"Meskipun terdapat kekurangan di bahagian pertahanan, saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain di bahagian serangan.
"Saya percaya kami mempunyai kekuatan dan kemampuan menjaringkan gol, sama seperti yang dilakukan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini,” ujarnya.
Dalam ada aksi pramusim terakhir pada Sabtu lalu, Selangor FC mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.