PASIR MAS - Penggunaan bot jenis Whaly 435 oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dijangka mempercepatkan lagi operasi menyelamat mangsa banjir di jajahan ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bot sepanjang 4.35 meter itu dilengkapi dengan enjin sangkut berkuasa 40 kuasa kuda direka dan dibina dengan ciri-ciri kelebihan bagi memenuhi keperluan spesifikasi pihak penyelamat.
Menurutnya, bot yang dibawa oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang ini kali pertama digunakan untuk operasi menyelamat mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang.
"Sebanyak enam buah bot jenis berkenaan akan digunakan untuk operasi menyelamat sepanjang musim banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang.
"Kemampuan bot tersebut yang boleh memasuki kawasan perumahan, bandar, kampung dan kawasan terpencil dilihat mampu memberikan bantuan awal dalam kerja-kerja menyelamat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mohd Nasaruddin berkata, kemampuan beroperasi di kawasan yang terdedah kepada air pasang surut dan perairan cetek dilihat mempercepatkan lagi penugasan operasi.
"Saya yakin dengan adanya kemudahan ini, pihak kami mampu membantu memberikan respon dengan segera sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Menurutnya, daya tahan bot yang lasak dan tahap kestabilan baik semasa di dalam air serta mudah dibawa melengkapkan lagi pakej pada bot ini.
Katanya, kemudahan aset ini telah dicadangkan untuk ditempatkan di IPD atau balai-balai yang sering berdepan banjir.